Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

Persiapan perkahwinan dari sudut kewangan

Kongsi
Perancangan dan persediaan kewangan sebelum berkahwin

Bagi seorang lelaki, terdapat dua peristiwa besar yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidupnya; pertama ketika fasa peralihan kanak-kanak ke remaja, kedua pula ketika berkahwin. Perasaan teruja, gembira dan takut bercampur baur.

Apabila hendak membina rumah tangga, sudah pasti kita mengimpikan mahligai yang indah, keluarga yang bahagia dan hidup yang tenang. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlulah membuat persiapan sebaiknya. Jika kita ingin membina sebuah rumah, semestinya kita akan membuat tinjauan reka bentuk rumah yang ada, mengumpul duit dan meminta pendapat orang lain sebelum mula membina rumah. Begitu jugalah dalam membina mahligai rumah tangga.

Kita harus persiapkan diri dari segala aspek. Pasangan perlu memahami tanggung jawab masing-masing, biasakan diri saling bertolak ansur, belajar cara-cara menjaga hati pasangan dan sama-sama berusaha ke arah mencapai matlamat yang sama. 

Jika serba cukup persiapannya, inshaAllah jalan menuju keluarga bahagia itu mudah untuk dicapai. Bukanlah tidak akan ada sebarang cabaran yang datang, cuma diri kita akan lebih bersedia untuk menghadapinya.

Dalam artikel kali ini, kita akan belajar serba sedikit mengenai persiapan dari sudut kewangan untuk melangkah ke alam perkahwinan.


Sebelum berkahwin

 

1. Buat kira-kira berapa anggaran kos perkahwinan

Cuba anggarkan kos yang perlu anda keluarkan daripada majlis merisik sehingga hari pertama anda sebagai suami isteri. 

Sebagai contoh, kos merisik RM1,000, majlis pertunangan RM3,000, majlis perkahwinan RM15,000 dan kos memasuki rumah baru pula RM3,000. Jumlah kasar yang diperlukan adalah RM22,000.

Kemudian bahagikan dengan berapa lama lagi tempoh untuk anda berkahwin. Jika 22 bulan, bermakna anda perlu simpan RM1,000 setiap bulan. 

Senarai semak perbelanjaan perkahwinan

 

2. Berbincang dengan pasangan

Bincang dengan pasangan anda berkenaan jumlah hantaran yang diinginkan. Tidak kira tinggi atau rendah, yang utama adalah anda perlu berbincang dengan baik. Ada pasangan yang sama-sama tanggung kos majlis dan hantaran, ada juga yang ditanggung oleh pihak lelaki sahaja.

Pasangan perlu saling memahami kedudukan kewangan masing-masing bagi menetapkan jumlah perbelanjaan yang realistik dan sesuai dengan kemampuan kita.

3. Jangan ambil pinjaman peribadi

Ada sesetengah pasangan sanggup mengambil pinjaman peribadi untuk berkahwin. Sanggup berhutang sehingga RM20,000-RM30,000. Hutang pula perlu dibayar bertahun-tahun, sehinggakan anak sudah masuk darjah 1 pun hutang masih belum habis dibayar.

Kebanyakannya, ditekan orang sekeliling, pakcik makcik, jiran tetangga, saudara-mara dan juga rakan-rakan yang meletakkan tanggapan supaya menganjurkan majlis di luar kemampuan kewangan. 

Sedangkan mereka tidak tahu di mana tahap kewangan kita, dan yang lebih menyedihkan kita yang terpaksa menanggung hutang itu nanti, bukannya mereka. 

4. Mula menyimpan awal 

Zaman bujang adalah waktu terbaik untuk menyimpan kerana komitmen masih rendah. Tidak kira sama ada anda sudah ada pasangan ataupun tidak, mulalah menyimpan seawal anda mula bekerja. Dengan menyimpan, anda tidak perlu berhutang untuk menampung kos perkahwinan anda dan pasangan.

Mulakan simpanan perkahwinan lebih awal

 

5. Rancang matlamat kewangan 

Cari masa lapang untuk duduk dan berbincang bersama pasangan tentang hala tuju hidup dan apa matlamat yang anda berdua ingin capai. Tanya soalan seperti bila nak beli rumah, berapa ramai anak, umur persaraan, berapa sasaran simpanan, bila mahu menunaikan haji dan sebagainya. 

 

 

Selepas berkahwin

 

1. Buka akaun bersama

Anda boleh buka akaun simpanan bersama di mana-mana bank pilihan anda. Duit yang ingin anda simpan bersama boleh diletakkan ke dalam akaun ini. 

Jika salah seorang meninggal, akaun bank peribadinya akan masuk ke bahagian harta pusaka yang mana ia perlu difaraidkan. Tetapi bagi akaun bersama, anda merupakan pemilik 50% daripada jumlah simpanan tersebut.

2. Ambil Takaful perlindungan pendapatan

Takaful perlindungan pendapatan ini sangat penting untuk diambil oleh si suami, lebih-lebih lagi bagi pasangan yang mana si suami sahaja berkerja, manakala si isteri pula seorang suri rumah sepenuh masa. Jika si suami meninggal dunia, maka terputuslah sumber pendapatan, jadi bagaimana si isteri mahu mencari sumber pendapatan untuk kelangsungan hidupnya?

Jika ada takaful, walaupun mungkin jumlah manfaat tidak dapat menampung perbelanjaan keluarga selama-lamanya, sekurang-kurangnya ia cukup untuk memberi si isteri ruang bernafas dan menyusun semula strategi menempuh hidup baharu tanpa suami di sisi.

Boleh lihat pelan hibah Takaful daripada Great Eastern Takaful di sini.

3. Rancang pewarisan harta

Sebut sahaja cerita tentang harta pusaka, kebanyak kisah yang kita dengar adalah kisah duka dan penuh dengan pergaduhan. Walaupun begitu, masih ramai yang leka dan tidak merancang harta pusaka semasa mereka hidup.

Elakkan kisah duka, rancanglah harta pusaka anda seawal mungkin.

Ambil tahu hak-hak sebagai waris, siapa waris yang layak dan berapa pecahan faraid. Buat wasiat, simpan resit bagi memudahkan tuntutan harta sepencarian dan lantik pengurus harta.

Rancang pewarisan harta dan asset seawal mungkin

Lakukan perkara-perkara asas ini, inshaAllah kedudukan kewangan anda dan keluarga akan berada dalam keadaan yang baik.

 

Rujukan: 

  • 15 Langkah Perancangan Kewangan Keluarga https://theoutlook.asia/15-langkah-perancangan-kewangan-keluarga/
  • Rancang Segera Pembahagian Harta https://www.sinarharian.com.my/article/8327/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Rancang-segera-pembahagian-harta
  • Buat Majlis Kahwin Jangan Sampai Hutang Keliling Pinggang https://www.kashoorga.com/buat-majlis-kahwin-jangan-sampai-hutang-keliling-pinggang/
Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo

Ahli PIDM

TIPS Brochure PIDM