Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

Perlukah ambil pinjaman untuk memulakan perniagaan?

Kongsi
Perlukah saya membuat pinjaman peribadi untuk membiayai perniagaan permulaan saya?

Ramai orang menyangkakan jika mahu memulakan perniagaan perlu ada modal yang besar. Untuk mendapatkan modal yang besar pula seseorang itu perlu meminjam atau berhutang. Dalam fikiran mereka, mereka mampu menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan dengan berhutang atau meminjam kerana sebahagian keuntungan akan digunakan untuk membayar hutang.

Semuanya nampak cantik di atas kertas. Tetapi realitinya tidak seindah yang diimpikan. Ramai memikirkan senario jika perniagaan mereka mendapat untung sahaja, bagaimana pula jika perniagaan itu mengalami kerugian?

Menurut laman Investopedia, 50% perniagaan baharu gagal dalam tempoh 5 tahun pertama beroperasi dan 70% lagi gagal dalam tempoh 10 tahun. Dalam erti kata lain, daripada 10 perniagaan, hanya 2 sahaja perniagaan yang kekal beroperasi selepas 5 tahun pertama.

Kata Mark Cuban, hanya orang kurang bijak memulakan perniagaan dengan hutang. Mark Cuban merupakan pemilik kelab bola keranjang, Dallas Mavericks dan usahawan yang dikenali ramai melalui rancangan Shark Tank (sebuah rancangan bersiri tentang usahawan di Amerika Syarikat).

Tiada jaminan bahawa anda akan mendapat keuntungan jika memulakan perniagaan. Tetapi jika anda berhutang, anda wajib membayarnya. Sebaiknya jika ingin memulakan perniagaan, elakkanlah daripada berhutang atau meminjam.

 

Mulakan dengan apa yang ada di tangan

Jika anda melaburkan RM2,000 untuk memulakan perniagaan dan kemudian perniagaan tersebut tidak menjadi, anda hanya kerugian sebanyak RM2,000 yang anda ada sahaja. Tetapi jika anda memulakan perniagaan dengan berhutang, anda kehilangan RM2,000 yang anda tiada. Itu belum lagi dicampur dengan bayaran faedah yang perlu anda tanggung.

 

Mulakan dengan modal kecil

Mungkin anda mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah restoran. Jika anda terus membuka restoran di lot kedai, kos permulaannya boleh mencecah hingga puluhan ribu Ringgit. Selain itu, terdapat kos tetap bulanan seperti bil utiliti, sewa dan bayaran pekerja. Jika perniagaan ini gagal, agak sukar untuk anda bangkit semula.

Mulakan bisnes anda dengan modal yang kecil untuk elak kerugian

Sebaliknya, anda boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan dahulu dengan membuka gerai di tepi jalan sahaja. Modal juga mungkin tidak lebih daripada RM5,000. Daripada gerai kecil ini anda boleh mula mendapatkan pelanggan-pelanggan setia. Apabila jumlah pelanggan meningkat, jualan dan keuntungan juga meningkat, barulah anda boleh memulakan langkah seterusnya dengan membuka kedai pula.

Contoh lain pula, sekiranya anda ingin terus membuka kedai cuci kereta di lot kedai, mungkin anda boleh mulakan dengan membuka perkhidmatan cuci kereta menggunakan khemah kanopi dahulu. Minimumkan risiko dan modal supaya anda boleh cuba berkali-kali. Jika gagal, anda masih mampu untuk bangun dan mulakan perniagaan yang lain pula.

 

Kekurangan berhutang atau membuat pinjaman untuk mulakan perniagaan

Jika anda tiada sebarang rekod menjalankan perniagaan, agak sukar sebenarnya untuk mendapatkan pinjaman perniagaan. Jadi kebiasaannnya orang akan mengambil pinjaman peribadi yang mana kadar faedahnya agak tinggi.

Di sini terdapat risiko muflis jika anda gagal membayar hutang disebabkan hutang tersebut dibuat atas nama peribadi. Lebih banyak keburukannya jika anda diisytiharkan muflis.

Selain itu, anda mempunyai kurang fleksibiliti dengan berhutang. Anda sudah terikat dengan komitmen tetap setiap bulan. Amat sukar bagi anda untuk mengubah strategi.

Risiko mengambil pinjaman peribadi untuk memulakan perniagaan

Bilakah masa yang sesuai untuk mengambil pinjaman dalam perniagaan?

Apabila perniagaan anda sudah bersedia untuk dikembangkan, iaitu setelah anda membuat kira-kira dan yakin anda mampu membuat keuntungan lebih banyak dengan meminjam.

Contohnya anda ingin membuka cawangan baharu. Daripada satu kedai makan kepada beberapa cawangan baharu di lokasi yang berbeza. Anda sudah boleh menganggarkan berapa jualan sehari di satu kedai, berapa kos bulanan dan berapa pula anggaran keuntungan yang anda boleh dapatkan. Pelanggan tetap juga sudah ada, permintaan pula semakin meningkat dan jenama sudah dikenali ramai. Tiada masalah untuk meminjam dalam situasi ini.

Selain itu anda boleh juga mengambil pinjaman untuk membeli mesin atau alatan yang menambah baik proses, yang meningkatkan produktiviti atau pengeluaran. Daripada mampu mengeluarkan 100 botol sambal kepada 1,000 botol sehari dengan pembelian mesin baharu.

Kesimpulannya, tidak salah untuk memulakan perniagaan dengan berhutang atau membuat pinjaman, tetapi anda perlu fikirkan risikonya juga, sedar bahawa risiko kegagalan dalam perniagaan di fasa awal agak tinggi.

Fikirkan bagaimana mahu memulakan perniagaan dengan modal minimum atau tanpa modal langsung. Contohnya, anda boleh memulakan perniagaan sebagai perunding Takaful dengan modal yang sangat rendah. Hanya perlu bayar pendaftaran dan yuran peperiksaan sahaja. Boleh lihat maklumat tentang kerjaya Takaful di sini.

Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo