Soalan untuk Doktor Selepas Diagnosis Kanser Payudara
Didiagnosis dengan kanser payudara? Ketahui soalan penting untuk doktor tentang ujian, rawatan dan kos, serta cara menyemak perlindungan dan tuntutan takaful.
Ringkasan Utama
- Minta doktor menerangkan keputusan ujian, jenis, tahap dan gred kanser payudara dalam bahasa yang mudah difahami.
- Bincangkan tujuan rawatan, manfaat dan kesan sampingan rawatan, serta tempoh masa yang sesuai untuk membuat keputusan.
- Rancang urusan kerja, pengangkutan dan penjagaan keluarga berdasarkan jadual rawatan.
Menerima diagnosis kanser payudara boleh membuatkan anda sukar menumpukan perhatian pada perkara lain. Ketika doktor menerangkan keputusan ujian, fikiran anda mungkin lebih tertumpu pada anak-anak di rumah, tanggungjawab kerja atau cara untuk memberitahu keluarga.
Tidak semua soalan akan muncul ketika anda berada di hadapan doktor. Ada soalan yang hanya terlintas selepas anda keluar dari bilik konsultasi. Ada juga istilah perubatan yang terasa asing, walaupun doktor sudah menerangkannya. Jangan risau, anda boleh meminta penjelasan semula, dan tidak perlu memahami semuanya dalam satu janji temu.
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, panduan ini menghimpunkan soalan untuk membantu anda berbincang tentang rawatan kanser payudara dengan pasukan perubatan. Pilih soalan yang paling penting bagi anda dan tambah perkara yang berkaitan dengan keadaan diri sendiri.
Apa yang Perlu Ditanya tentang Diagnosis?
Laporan biopsi mungkin mengandungi banyak istilah dan singkatan. Mulakan dengan meminta doktor menerangkan perkara utama: apakah yang telah disahkan dan apakah maklumat yang masih belum diketahui?
Antara soalan yang boleh anda bawa ialah:
- “Apakah jenis kanser payudara saya, dan apakah yang disahkan oleh laporan biopsi?”
- “Apakah tahap dan gred kanser saya? Adakah keputusan ini sudah lengkap?”
- “Apakah keputusan reseptor hormon dan HER2 saya, dan bagaimana keputusan ini mempengaruhi rawatan?”
- “Adakah saya memerlukan ujian tambahan? Apakah tujuan ujian tersebut?”
- “Bilakah keputusan akan tersedia, dan siapa yang akan menerangkannya kepada saya?”
Tahap dan gred menerangkan perkara yang berbeza. Tahap mengambil kira sejauh mana kanser berada atau telah merebak dalam badan, bersama dengan ciri tertentu kanser. Gred pula menerangkan sejauh mana sel kanser kelihatan berbeza daripada sel normal apabila diperiksa di bawah mikroskop.
Keputusan reseptor hormon dan HER2 memberikan maklumat tentang ciri sel kanser yang membantu doktor menentukan tahap dan merancang rawatan yang paling sesuai untuk anda. Minta doktor menerangkan maksud keputusan anda serta kaitannya dengan cadangan rawatan.
Jika penerangan masih belum jelas, cuba tanyakan, “Apakah maksud keputusan ini untuk langkah saya selepas ini?” Soalan ini membantu mengaitkan maklumat dalam laporan dengan perkara yang perlu anda lakukan.
Sila minta salinan laporan biopsi dan keputusan ujian lain untuk simpanan sendiri. Catat soalan yang belum terjawab, termasuk keputusan yang masih ditunggu. Anda boleh merujuk semula nota tersebut pada janji temu seterusnya tanpa perlu mengingati setiap perincian.
Jika anda ingin memahami lebih lanjut tentang pemeriksaan payudara dan cara mendapatkan saringan, baca panduan saringan kanser payudara kami.
Apa yang Perlu Ditanya tentang Pilihan dan Masa Rawatan?
Anda mungkin pernah mendengar pengalaman saudara atau rakan yang menjalani rawatan kanser payudara. Pengalaman mereka boleh memberi gambaran, tetapi pelan rawatan anda perlu dibincangkan berdasarkan keputusan ujian, keadaan kesihatan dan keperluan sendiri.
Untuk memahami cadangan rawatan kanser payudara, tanyakan:
- “Apakah pilihan rawatan yang sesuai untuk keadaan saya, dan mengapa doktor mencadangkan pelan ini?”
- “Apakah matlamat rawatan ini dan manfaat yang dijangka?”
- “Apakah risiko atau kesan sampingan yang perlu saya pertimbangkan?”
- “Jika beberapa rawatan diperlukan, apakah urutannya dan mengapa?”
- “Bilakah rawatan perlu bermula? Berapa banyak masa yang saya ada untuk membuat keputusan?”
- “Bolehkah saya mendapatkan pendapat kedua dalam tempoh tersebut?”
Selepas doktor menerangkan pelan rawatan, cuba ulang semula apa yang anda faham. Contohnya, “Jadi, saya akan menjalani rawatan ini dahulu, kemudian dinilai semula sebelum langkah seterusnya. Betulkah?” Cara ini membantu memastikan anda memahami penerangan doctor dengan tepat dan memberi peluang kepada doktor untuk membetulkan sebarang salah faham.
Beritahu juga doktor tentang perkara yang penting dalam kehidupan anda jika ia boleh mengganggu rawatan harian anda. Mungkin anda menjaga ibu bapa, bekerja mengikut syif atau tinggal jauh dari hospital. Maklumat ini membantu pasukan perubatan memahami sokongan yang anda perlukan sepanjang rawatan.
Jika anda merancang untuk mempunyai anak, nyatakan perkara itu sebelum rawatan bermula. Sesetengah rawatan boleh menjejaskan kesuburan, dan perbincangan awal membolehkan doktor menilai sama ada rujukan kepada pakar kesuburan diperlukan atau tidak.
Anda juga boleh berterus terang tentang kebimbangan sendiri. “Saya paling risau tentang kesan sampingan kerana saya tinggal seorang diri.” Maklumat seperti ini dapat membantu doktor untuk memahami keadaan anda dan membincangkan persediaan serta sokongan yang mungkin diperlukan.
Apa yang Perlu Disediakan Sebelum Rawatan Bermula?
Selepas pelan rawatan diterangkan, persoalan harian biasanya mula timbul. Siapa yang boleh menghantar anda ke hospital? Adakah anda perlu mengambil cuti? Siapa yang boleh menjaga anak-anak jika anda perlu berehat?
Minta gambaran jadual rawatan supaya anda boleh mula mengatur bantuan. Anda boleh bertanya:
- “Berapa kerap saya perlu datang ke hospital, dan berapa lama setiap sesi biasanya mengambil masa?”
- “Adakah saya mungkin perlu dimasukkan ke hospital?”
- “Apakah tempoh pemulihan yang dijangka, dan aktiviti apa yang mungkin perlu dihadkan?”
- “Apakah kesan sampingan atau gejala yang memerlukan perhatian segera?”
- “Siapa yang perlu saya hubungi selepas waktu pejabat?”
Simpan nombor pasukan rawatan dalam telefon dan minta arahan bertulis tentang perkara yang perlu dilakukan jika anda gejala atau kesan sampingan di rumah. Jika ada seseorang yang akan membantu menjaga anda, kongsi maklumat tersebut dengannya supaya dia tahu siapa yang boleh dihubungi.
Bawa senarai ubat yang sedang diambil, termasuk vitamin, suplemen dan produk herba. Maklumkan juga alahan serta penyakit lain yang sedang dirawat. Tanya doktor sama ada terdapat perkara yang perlu diubah sebelum rawatan bermula. Elakkan jangan membuat sebarang perubahan tanpa nasihat doktor.
Untuk urusan kewangan, minta anggaran kos dan tanyakan apa yang termasuk dalam anggaran tersebut. Dapatkan maklumat tentang bahagian hospital yang menguruskan bil, tuntutan takaful serta dokumen yang mungkin diperlukan sepanjang rawatan. Catat juga perbelanjaan lain seperti perjalanan, parkir dan penjagaan anak supaya anda boleh merancang dengan lebih teratur.
Semak Perlindungan Takaful dan Keperluan Tuntutan
Jika anda mempunyai perlindungan takaful sedia ada, sediakan sijil dan maklumat manfaat sebelum menghubungi pengendali takaful. Pelanggan GETB boleh merujuk panduan i-Get In Touch untuk melihat e-Sijil yang tersedia dalam akaun mereka.
Antara dokumen yang perlu disediakan atau disahkan dengan pengendali:
- Nombor sijil, dokumen sijil dan maklumat manfaat atau rider.
- Laporan biopsi, keputusan ujian dan laporan perubatan yang diminta.
- Borang tuntutan serta borang doktor yang berkaitan dengan jenis tuntutan.
- Bil atau invois dan resit asal bagi tuntutan bayaran balik perubatan.
GETB menyediakan panduan tuntutan penyakit kritikal, termasuk borang tuntutan dan borang Confidential Medical Certificate bagi tuntutan berkaitan dengan kanser. Untuk tuntutan perubatan, rujuk panduan tuntutan hospital dan pembedahan. Sahkan terlebih dahulu senarai dokumen yang diperlukan bagi tuntutan anda sebelum menghantar.
Soalan untuk pengendali takaful:
- “Adakah sijil saya masih berkuat kuasa, dan manfaat manakah yang mungkin berkaitan dengan keadaan atau rawatan saya?”
- “Apakah definisi penyakit, tempoh menunggu, pengecualian dan had manfaat yang terpakai?”
- “Apakah borang dan dokumen yang diperlukan? Adakah dokumen asal atau pengesahan doktor diperlukan?”
- “Bagaimanakah tuntutan dihantar, apakah tempoh penghantarannya dan bagaimana saya boleh menyemak status?”
Anda juga boleh membaca panduan GETB tentang membuat tuntutan takaful untuk gambaran umum proses tersebut.
Kelayakan bagi manfaat dan bayaran tuntutan bergantung pada terma dan syarat sijil individu serta penilaian tuntutan yang berkaitan. Diagnosis kanser payudara tidak semestinya melayakkan seseorang menerima semua manfaat penyakit kritikal atau bayaran bagi semua kos rawatan. Doktor menerangkan keperluan rawatan anda, manakala pengendali takaful mengesahkan perlindungan berdasarkan sijil.
Ambil Satu Langkah pada Satu Masa
Anda tidak perlu pulang dari janji temu dengan semua persoalan terjawab. Mulakan dengan memahami diagnosis, cadangan rawatan dan perkara yang perlu dilakukan sebelum lawatan seterusnya. Jika anda selesa, ajak seseorang yang dipercayai untuk menemani anda dan membantu mencatat maklumat atau nasihat yang diberikan.
Di Great Eastern Takaful Berhad (GETB), kami menggalakkan anda mengambil tahu tentang kesihatan serta perlindungan yang dimiliki. Selain memahami pelan rawatan kanser payudara, luangkan masa untuk mengatur bantuan harian dan menyemak dokumen perlindungan berkaitan. Langkah-langkah ini boleh membantu anda membuat persediaan untuk fasa rawatan seterusnya. Untuk pertanyaan tentang sijil takaful anda, hubungi khidmat pelanggan GETB bagi mendapatkan penjelasan.
Soalan Lazim
- Adakah ahli keluarga saya perlu menjalani ujian genetik selepas saya didiagnosis dengan kanser payudara?
Tidak semestinya. Keperluan ujian bergantung pada penilaian risiko, termasuk umur ketika diagnosis, jenis kanser dan sejarah keluarga. Tanya doktor sama ada kaunseling genetik sesuai untuk anda terlebih dahulu. Jika perubahan gen yang diwarisi dikenal pasti, profesional kesihatan boleh menerangkan implikasinya kepada ahli keluarga dan siapa yang mungkin perlu menjalani ujian. - Bagaimana jika saya sukar memahami penerangan tentang rawatan kanser payudara kerana bahasa yang digunakan?
Beritahu pihak hospital bahasa yang anda lebih selesa gunakan ketika membuat janji temu. Tanya sama ada bantuan jurubahasa atau penerangan dalam bahasa tersebut tersedia. Anda juga boleh meminta istilah penting ditulis dan diterangkan dengan contoh. Sebelum memberi persetujuan, minta penjelasan bagi perkara yang masih belum difahami. - Di mana saya boleh mendapatkan sokongan emosi selepas diagnosis kanser payudara?
Tanya pasukan rawatan tentang kaunselor, ahli psikologi atau kumpulan sokongan pesakit yang boleh dihubungi. Anda tidak perlu menunggu sehingga tekanan menjadi terlalu berat untuk meminta bantuan. Jika kebimbangan mula mengganggu tidur, selera makan atau urusan harian, maklumkan kepada doktor supaya keperluan sokongan anda boleh dinilai. - Bolehkah saya bertanya tentang kajian klinikal untuk rawatan kanser payudara?
Ya. Tanya doktor sama ada terdapat kajian klinikal yang sesuai dan tersedia di pusat rawatan anda atau melalui rujukan. Kelayakan bergantung pada syarat kajian. Sebelum menyertai, bincangkan manfaat yang mungkin diperoleh, risiko yang terlibat, ujian tambahan yang diperlukan, jadual lawatan serta kos yang berkaitan. Penyertaan adalah sukarela dan rawatan yang dikaji tidak dijamin lebih berkesan. - Bolehkah saya merakam perbincangan dengan doktor tentang kanser payudara?
Minta kebenaran doktor terlebih dahulu dan semak polisi hospital. Rakaman boleh membantu anda mendengar semula penerangan selepas janji temu. Jika rakaman tidak dibenarkan, minta ringkasan bertulis atau catat perkara utama yang dibincangkan. Simpan rakaman dan nota dengan selamat kerana kedua-duanya mungkin mengandungi maklumat kesihatan peribadi.
References:
- https://www.cancer.gov/types/breast/stages.
- https://www.komen.org/support-resources/tools/questions-to-ask-your-doctor
- https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/breast-cancer/living-with
- https://www.cancer.org/cancer/types/breast-cancer/risk-and-prevention/genetic-testing.html
- https://www.komen.org/breast-cancer/treatment/clinical-trials