Perbezaan kad perubatan dengan had keseluruhan tahunan dan had keseluruhan seumur hidup
Pelajari perbezaan antara had takaful perubatan tahunan & seumur hidup untuk membuat keputusan yang tepat. Terokai lebih lanjut bersama GETB sekarang!
Apabila membuat pilihan perlindungan kesihatan, pemahaman tentang perbezaan had amat penting kerana ia memberi kesan pada perlindungan anda. Dua konsep utama dalam perkara ini adalah had keseluruhan tahunan dan had keseluruhan seumur hidup. Walaupun kedua-duanya berfungsi untuk mengehadkan pembayaran tuntutan penanggung, masing-masing beroperasi dengan kaedah berbeza yang akan mempengaruhi perancangan kewangan dan kemudahan kesihatan anda. Artikel ini menerangkan perbezaan had ini bagi membantu anda membuat pilihan perlindungan kesihatan terbaik dan bersedia untuk perbelanjaan perubatan masa depan.
1. Perbezaan maksud

Definisi had keseluruhan tahunan dan had keseluruhan sepanjang hidup adalah berbeza. Had keseluruhan tahunan bermaksud jumlah maksimum yang dilindungi oleh pengendali takaful anda untuk perbelanjaan perubatan dalam tempoh setahun. Jika ia mencecah had tertentu (menurut pelan pilihan anda) dalam tahun tersebut, anda perlu melunaskan sebarang kos tambahan memandangkan ia telah melebihi had. Bagaimanapun, pada setiap ulang tahun sijil, had yang sama akan diperbaharui semula.
Manakala, had keseluruhan seumur hidup adalah jumlah maksimum yang dilindungi oleh pengendali takaful anda untuk kos rawatan sepanjang tempoh pelan kad perubatan takaful anda. Had ini berbeza dengan had keseluruhan tahunan kerana apabila had dicapai, pengendali takaful tidak lagi membiayai sebarang kos perubatan tambahan.
2. Tempoh masa

Had keseluruhan tahunan meliputi pelan satu tahun, bermula ketika pelan anda berkuat kuasa dan berakhir 12 bulan kemudian. Apabila tamat tempoh, had akan diperbaharui dan anda mendapat perlindungan penuh bagi had perlindungan perubatan semula untuk tahun seterusnya. Kitaran ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang sehingga tamat tempoh perlindungan. Contohnya, jika pelan anda mempunyai had RM100,000, pengendali takaful akan membiayai kos perubatan anda dalam tempoh 12 bulan. Bagaimanapun, jika had tersebut dicapai, anda perlu melunaskan kos tambahan sendiri.
Bagi had keseluruhan seumur hidup pula, tempoh perlindungan terpakai adalah sepanjang tempoh perlindungan pelan perubatan anda. Berbeza dengan had keseluruhan tahunan, had ini tidak diperbaharui semula setiap tahun. Apabila had keseluruhan seumur hidup anda dicapai, anda perlu membayar semua kos perubatan sendiri dan pengendali takaful tidak lagi menanggung perbelanjaan perubatan anda.
Secara ringkasnya, memahami perbezaan antara had keseluruhan tahunan dan keseluruhan seumur hidup adalah penting untuk perancangan perlindungan perubatan yang berkesan. Mengetahui bagaimana setiap had memberi kesan kepada perlindungan tertentu dapat membantu anda membuat pilihan terbaik yang sesuai dengan keperluan kesihatan jangkamasa panjang anda selain mengelakkan sebarang beban kewangan. Semak semua had dengan teliti ketika memilih pelan takaful supaya ia selari dengan matlamat kesihatan dan kewangan anda.