Jaga Kesihatan Mental Anda
Masalah kesihatan mental telah meningkat dalam kalangan kumpulan berumur 16–39 tahun, antara tahun 2019 dan 2023. Bagaimanakah kita boleh menjaga kesihatan mental kita? Baca di sini!

Bergerak
Cara pertama kita boleh menjaga kesihatan mental kita adalah dengan bergerak. Ramai di antara kita menghabiskan masa seharian di meja kerja kita. Ini bermakna kebanyakan masa kita terpaku pada skrin dan kerusi ketika bekerja, dengan pergerakan yang terhad. Bergerak atau bersenam boleh mengeluarkan hormon yang dapat meningkatkan mood kita. Ini dapat mengurangkan tekanan dan emosi negatif yang kita alami sepanjang hari yang boleh menghalang kita daripada menikmati kehidupan kita.
Jika senaman berat menakutkan anda, mulakan dengan berjalan kaki selama 10 minit dahulu. Kemudian, anda boleh menambah masa berjalan kaki anda sehingga 30 minit. Anda juga boleh mendaftar dalam kelas senaman mudah, di mana anda juga dapat berjumpa teman baharu. Bukan sahaja anda akan meningkatkan aktiviti fizikal anda; malah anda juga boleh mengembangkan bulatan sosial anda. Jadi, carilah sesuatu aktiviti fizikal yang anda suka!
Berehat
Selain daripada bergerak atau bersenam, adalah penting untuk memastikan kita rehat dengan cukup. Perkara ini mungkin bertentangan dengan kenyataan sebelum ini, tetapi teruskan membaca! Apabila tarikh akhir untuk tugas kerja semakin mendesak, kita mungkin perlu meluangkan lebih masa untuk menyelesaikannya. Walau bagaimanapun, jika anda menghadapi halangan, anda boleh berehat sebentar – menghirup udara segar dengan berjalan kaki, makan makanan ringan atau mengalihkan fikiran anda untuk seketika. Anda mungkin dapat menyambung dan melakukan kerja anda dengan lebih efisyen dan berfikiran lebih tajam atau kreatif.
Selain itu, pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Orang dewasa disyorkan untuk tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam, kerana ia sangat bermanfaat untuk kesihatan secara keseluruhan. Pertimbangkan untuk bercuti sekiranya masa dan bajet mengizinkan – tidak kira destinasi anda; selagi anda dapat mengasingkan diri daripada rutin harian anda.
Menyelam alam kreatif
Seterusnya, tekanan perlu dilepaskan untuk menjaga kesihatan mental anda sama ada melalui senaman atau tidur. Kadangkala, apa yang perlu kita lakukan ialah menyelam alam kreatif atau mencipta. Anda boleh mendaftar diri anda dalam bengkel yang membolehkan anda menyerlahkan kreativiti anda – mengukir tembikar, mengait (crochet), membuat kek dan melukis batik adalah aktiviti yang popular sejak kebelakangan ini.
Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti tersebut boleh menelan belanja yang tinggi. Jika anda kekurangan bajet, anda boleh juga membeli buku mewarna untuk orang dewasa dan satu set pensel warna, belajar melukis, atau melipat origami melalui tutorial dalam talian. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut mungkin sedikit keanak-anakan, ia boleh memberi impak yang positif kepada kehidupan dewasa anda!
Menghulurkan tangan
Dalam kehidupan, sudah tentu ada pasang surut dan setiap orang menanganinya secara berbeza. Selalunya, seseorang akan memastikan kewangan dan perlindungan mereka terjaga. Tetapi apabila anda mula berasa terbeban dan cemas secara mental, ia adalah penting untuk meminta bantuan dan bukan mengharunginya secara bersendirian kerana boleh memudaratkan diri sendiri. Carilah rakan yang boleh dipercayai atau kumpulan sokongan untuk menyuarakan apa yang terbuku di minda danberkongsi kesulitan anda. Kadang-kadang, bercakap boleh membantu mengatur dan mengosongkan fikiran dan melegakan emosi anda.
Selain itu, jika emosi anda terlalu membebankan secara berterusan atau menjejaskan keadaan mental anda, pilihan terbaik anda adalah untuk melawat kaunselor. Ia akan menjadi zon bebas pendapat berat sebelah untuk anda menyuarakan kebimbangan dan perasaan anda.
Secara keseluruhannya, terdapat pelbagai cara menjaga kesihatan mental, iaitu dengan memastikan kita mempunyai gaya hidup yang aktif, rehat yang cukup, saluran kreatif dan orang yang kita boleh meluahkan kebimbangan kita. Amat penting untuk kita ketahui jenis-jenis gangguan kesihatan mental dengan intensiti yang berbeza. Masalah kesihatan mental mungkin dipengaruhi oleh gaya hidup, pengalaman peribadi, status sosial, tekanan, lain-lain – punca masalah kesihatan mental adalah berbeza antara orang yang menghidapinya, dan tiada satu penyelesaian yang tertentu. Walaupun demikian, dengan perkembangan topik kepentingan menjaga kesihatan mental, kita tidak perlu malu mencari cara mengurangkan tekanan zaman moden ini. Jadi, jom kita semua sedar akan keperluan badan dan minda kita!