1. Langkah Interim Penetapan Semula Kos Perubatan – Soalan Lazim Kini Tersedia
Klik di sini untuk membaca Soalan Lazim yang telah dikemas kini atau hubungi kami di 1300-13-8338 (tekan 6) untuk bantuan lanjut.
 

2. Penggantungan Sementara Permohonan DDA
Bermula 16 Januari 2025, permohonan baharu untuk Kebenaran Debit Terus (DDA) akan digantung buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Ketahui lebih lanjut
 

3. Bayar Caruman Anda dengan Mudah melalui i-Great In Touch (iGIT)
Guna iGIT untuk membuat bayaran caruman anda dengan selamat. Elakkan membuat bayaran melalui pihak ketiga.

Perpaduan dalam Kepelbagaian: Sambutan Hari Malaysia

Perpaduan dalam Kepelbagaian: Sambutan Hari Malaysia

Sambutan Hari Malaysia adalah simbol kepada perpaduan dalam kepelbagaian rakyat Malaysia yang bersama-sama membentuk sebuah negara berdaulat dan harmoni. Raikannya dengan memahami maksud & kepentingannya.

12 Sep 2025
Social Share XF (BM)
Perpaduan dalam Kepelbagaian: Sambutan Hari Malaysia

Hari Malaysia bukan sekadar tarikh dalam kalendar atau cuti umum yang ditunggu-tunggu. Sambutan ini adalah detik penting yang mengingatkan kita tentang erti sebenar perpaduan dan bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia mampu berdiri teguh walaupun berbeza latar belakang. Apa yang menjadikan negara ini unik bukan sekadar kepelbagaian budaya dan bangsa, tetapi bagaimana kita menjadikannya sumber kekuatan untuk melangkah maju bersama.

Apa itu Hari Malaysia?

Mungkin ada dalam kalangan kita pernah bertanya, apakah itu Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun? Hari Malaysia adalah hari memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Pada tarikh tersebut, Sabah dan Sarawak bergabung bersama Persekutuan Tanah Melayu bagi membentuk sebuah negara baharu yang dinamakan Malaysia. Peristiwa ini telah melakar Sejarah yang penuh bermakna buat seluruh rakyat Malaysia kerana tarikh tersebut bukan sahaja tentang penggabungan wilayah tetapi juga penyatuan hati dan cita-cita rakyat untuk membina sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Justeru, jika ada yang tertanya-tanya “kenapa sambut Hari Malaysia?”, jawapannya jelas dan penuh erti kerana peristiwa tersebut adalah simbol kepada identiti kita. Selain itu, ia turut menegaskan bahawa Malaysia bukan sekadar wujud kerana sejarah tetapi kerana semangat perpaduan yang menjadi asas setiap langkah kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan bangsa.

Kekuatan dalam Kepelbagaian

Malaysia terkenal di mata dunia kerana kepelbagaian budayanya. Dari makanan, seni, muzik, sehinggalah ke sambutan perayaan, semuanya mencerminkan keindahan masyarakat yang berbilang kaum. Nasi lemak dan teh tarik telah menyatukan semua lapisan masyarakat di Malaysia di samping kemeriahan Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, semuanya adalah bukti nyata bahawa perbezaan bukan penghalang sebaliknya pengikat ukhuwah.

Sambutan Hari Malaysia setiap tahun memberi peluang untuk kita merenung kembali bagaimana kepelbagaian ini menjadikan negara kita lebih kuat. Ia mengajar kita bahawa setiap kaum membawa keistimewaannya tersendiri. Apabila seluruh bangsa bersatu, ia telah mencipta satu identiti kebangsaan yang unik dan tidak ternilai.

Perpaduan Melalui Nilai Bersama

Namun, perpaduan bukan hanya tentang meraikan perbezaan. Kita disatukan melalui nilai yang dikongsi bersama antaranya saling menghormati, toleransi, dan rasa kebersamaan. Inilah asas utama kepada kepentingan Hari Malaysia. Tanpa nilai-nilai tersebut, tidak mungkin kita mampu berdiri megah dan teguh sehingga kini kerana perasaan hormat dan saling memahami adalah jambatan kukuh yang menyatukan setiap lapisan masyarakat.

Nilai tersebut turut terpancar dalam kehidupan seharian kita terutamanya dalam kalangan jiran tetangga yang sentiasa ringan tangan membantu, rakan sekerja yang menghormati amalan dan budaya masing-masing, atau kawan rapat yang meraikan perayaan bersama walaupun berlainan agama dan bangsa. Semuanya membuktikan bahawa perpaduan Malaysia tidak hanya hidup di atas kertas sejarah, tetapi benar-benar wujud dalam kehidupan rakyat.

Melangkah Ke Hadapan Bersama

Walaupun kita berbangga dengan pencapaian lalu, Hari Malaysia juga adalah peluang untuk kita melihat terus ke hadapan. Dunia moden yang berubah dengan pantas serta pelbagai cabaran baharu yang datang dalam pelbagai bentuk antaranya keadaan ekonomi yang tidak menentu, teknologi yang berkembang terlalu pesat, dan isu perpaduan sosial yang semakin kompleks.

Namun, sejarah membuktikan bahawa kekuatan kolektif mampu mengatasi apa sahaja cabaran. Sama seperti bagaimana nenek moyang kita berjuang untuk kemerdekaan dan membina negara ini. kita juga harus terus bersatu padu dalam menghadapi cabaran yang mendatang. Dengan semangat sambutan Hari Malaysia, bersama kita melahirkan sebuah negara yang progresif, inklusif, dan adil untuk semua lapisan masyarakat.

Kesedaran ini juga penting untuk generasi muda. Mereka perlu memahami bahawa perpaduan bukan sahaja slogan, tetapi aset terbesar negara. Merekalah yang akan meneruskan legasi ini, memastikan Malaysia kekal kukuh di mata dunia.

Kesimpulan

Sempena sambutan Hari Malaysia, marilah kita raikan keindahan kepelbagaian yang menyatukan kita. Ia bukan sahaja peringatan terhadap sejarah, tetapi panduan untuk masa depan. Seperti kita berdiri teguh sebagai sebuah negara, fikirkan juga tentang langkah melindungi diri dan keluarga. Perlindungan seperti Takaful bukan sahaja menjaga individu, malah memperkukuh kesejahteraan komuniti seperti semangat perpaduan yang menjadi tunjang Malaysia.