1. Langkah Interim Penetapan Semula Kos Perubatan – Soalan Lazim Kini Tersedia
Klik di sini untuk membaca Soalan Lazim yang telah dikemas kini atau hubungi kami di 1300-13-8338 (tekan 6) untuk bantuan lanjut.

2. Bayar Caruman Anda dengan Mudah melalui i-Get In Touch (iGIT)
Guna iGIT untuk membuat bayaran caruman anda dengan selamat. Elakkan membuat bayaran melalui pihak ketiga.

 

3. Laporan Dana Berkaitan Pelaburan 2025 Kini Tersedia di sini

 

4. Pengumuman berhubung pengemaskinian pengaturan perkhidmatan bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad. Ketahui lebih lanjut.

 

5. Semak dan Kemaskini Penama Anda!
Kami menggalakkan anda untuk menyemak dan mengemaskini butiran penamaan yang sedia ada dari semasa ke semasa.
Log masuk i-Get In Touch → Permohonan Perkhidmatan Saya → Pelantikan/Penukaran Penama sebagai Benefisiari/Wasi.

 

6. Pastikan Butiran Anda Dikemaskini!
Alamat surat-menyurat, nombor telefon dan alamat e-mel anda adalah penting untuk memastikan kami dapat menghubungi anda serta menyampaikan maklumat dan notis penting berkaitan sijil Takaful anda.Log masuk ke i-Get In Touch → Permohonan Perkhidmatan Saya → Kemaskini Maklumat Peribadi untuk mengemas kini butiran anda.

 

Hari Kesihatan Mental Sedunia: Cara Menyokong Seseorang yang Menghadapi Masalah Kesihatan Mental

Hari Kesihatan Mental Sedunia: Cara Menyokong Seseorang yang Menghadapi Masalah Kesihatan Mental

Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, ketahui cara membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental dan mendapatkan bantuan profesional di Malaysia.

26 Oct 2026
Social Share XF (BM)
Hari Kesihatan Mental Sedunia: Cara Menyokong Seseorang yang Menghadapi Masalah Kesihatan Mental

Ringkasan Utama

  • Beri ruang kepada mereka untuk berkongsi perasaan dan pengalaman tanpa tergesa-gesa memberikan nasihat.
  • Tanyakan bentuk bantuan yang mereka perlukan dan hormati pilihan serta keputusan mereka.
  • Teruskan bertanya khabar dan tunjukkan keprihatinan secara konsisten sambil menjaga kesejahteraan diri sendiri dan bersikap realistik tentang kemampuan mampu anda untuk membantu.
  • Bantu mereka mendapatkan sokongan profesional yang bersesuaian.

    Anda mungkin pernah berada dalam situasi seperti ini. Seorang rakan yang biasanya ceria tiba-tiba tidak lagi menyertai anda untuk makan tengah hari. Seorang ahli keluarga pula kelihatan letih, murung dan mudah tersinggung. Apabila ditanya sama ada mereka baik baik sahaja, jawapannya ringkas: “Tak ada apa-apa.”Anda mahu bertanya sekali lagi, tetapi bimbang akan membuatkan mereka rasa tidak selesa. Anda mungkin terfikir untuk memberikan nasihat, tetapi sebenarnya tidak pasti apa yang sedang mereka lalui.

    Apabila seseorang yang kita sayangi sedang berdepan dengan masalah kesihatan mental, kita mungkin tidak tahu cara terbaik untuk membantu. Ada yang mahu berkongsi cerita, manakala ada yang belum bersedia untuk bercakap tetapi tetap menghargai kehadiran seseorang di sisi mereka. Kadangkala, langkah paling bermakna yang boleh kita ambil ialah dengan bertanya khabar, mendengar tanpa menghakimi, serta memberi mereka ruang dan masa untuk berkongsi mengikut keselesaan mereka.

    Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini membawa tema “Lived Experiences Heard: Real Voices, Real Change” atau “Pengalaman Didengari: Suara Sebenar, Perubahan Sebenar”. Tema ini mengingatkan kita tentang pentingnya mendengar mereka yang pernah melalui cabaran kesihatan mental dan mengambil kira suara, pengalaman dan pandangan mereka apabila memberikan sokongan.

    Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental boleh bermula dengan cara kita melayan dan menyokong orang di sekeliling kita. Berikut ialah tiga perkara yang boleh kita lakukan apabila seseorang yang rapat dengan kita sedang melalui waktu yang sukar.
     

    Dengar Dahulu, Tanpa Menghakimi

    Memulakan perbualan mungkin merupakan langkah yang paling sukar. Kita mungkin bimbang akan tersalah cakap, tetapi jika kita terus berdiam diri, mereka mungkin merasakan tiada sesiapa yang menyedari perubahan yang sedang mereka lalui.Pilih waktu ketika anda berdua tidak tergesa-gesa. Jika boleh, berbual secara peribadi. Mulakan dengan sesuatu yang anda perhatikan, tanpa membuat andaian tentang keadaan mereka.

    Contohnya, “Saya perasan awak agak senyap kebelakangan ini. Ada apa-apa yang awak nak cerita?”

    Jika mereka menjawab “tak ada apa-apa”, anda tidak perlu terus mendesak. Sebaliknya, beritahu mereka bahawa anda sentiasa ada jika mereka ingin bercakap.

    “Tak apa. Kalau nanti awak rasa nak bercakap, saya sedia mendengar.”

    Apabila mereka mula berkongsi, cuba elakkan daripada terus memberi cadangan atau mencari penyelesaian. Kadangkala, kita terlalu cepat berkata “cuba buat ini” sedangkan kita belum benar-benar memahami apa yang sedang mereka lalui.

    Ketepikan telefon anda dan berikan perhatian sepenuhnya sehingga mereka selesai bercakap. Jika mereka berhenti seketika, beri mereka waktu. Ada perasaan yang sukar untuk diluahkan, terutamanya apabila seseorang itu sendiri masih cuba memahami apa yang sedang berlaku dalam dirinya.

    Panduan daripada Best For You menyarankan supaya kita mendengar dengan penuh perhatian dan memastikan bahawa kita benar-benar memahami apa yang telah dikongsikan. Anda boleh bertanya, “Maksud awak, sejak perkara itu berlaku, setiap hari bekerja terasa semakin sukar untuk dilalui?” Jika anda tersalah faham, beri mereka ruang untuk membetulkannya. Tujuannya bukan untuk mendapatkan jawapan yang sempurna, tetapi untuk memastikan mereka berasa didengari dan difahami.

    Pada masa yang sama, berhati-hati dengan ungkapan yang sering gunakan untuk menenangkan seseorang, seperti:

    • "Jangan fikir sangat."
    • "Orang lain lagi susah."
    • "Awak kena kuat."

    Walaupun niat kita baik, kata-kata seperti ini boleh membuatkan seseorang berasa seolah-olah perasaannya tidak wajar atau tidak perlu dikongsi. Hakikatnya, seseorang yang sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental mungkin telah lama cuba menghadapinya sendiri sebelum akhirnya memberanikan diri untuk bercerita dengan orang lain.

    Kadangkala, respons yang paling membantu sebenarnya sangat ringkas. Anda boleh berkata, “Terima kasih sebab berkongsi dengan saya,” atau “Saya mungkin tidak benar-benar memahami apa yang awak rasa, tetapi saya mahu cuba memahaminya.”

    Jika anda pernah melalui pengalaman yang serupa, elakkan daripada terus mengalihkan perbualan kepada pengalaman anda sendiri. Dengarkan luahan mereka terlebih dahulu. Pengalaman anda mungkin dapat membantu kemudian, tetapi buat masa ini, perkara yang paling penting ialah memberi mereka ruang untuk bercakap dan berasa didengari.

    Tawarkan Bantuan yang Sesuai dengan Keperluan Mereka

    Selepas mendengar, tanyakan apa yang mereka perlukan.

    “Awak nak saya dengar sahaja dulu, atau ada sesuatu yang saya boleh bantu?”
    Soalan ini boleh mengelakkan kita daripada terus memberikan nasihat apabila seseorang sebenarnya hanya mahu meluahkan perasaan. Ada juga yang sukar untuk meminta bantuan, walaupun tugasan harian sudah mula terasa terlalu membebankan.

    Ungkapan seperti “Beritahu saya jika anda perlukan apa-apa” sememangnya diucapkan dengan niat yang baik. Namun, kadangkala ia sukar dijawab kerana seseorang mungkin tidak tahu apa yang diperlukan atau berasan segan untuk meminta pertolongan. Tawaran yang lebih spesifik selalunya lebih membantu.

    Contohnya:

    • “Saya nak keluar beli makanan. Nak saya belikan untuk awak sekali?”
    • “Kalau awak mahu, saya boleh temankan awak ke janji temu.”
    • “Saya lapang Sabtu ini. Ada apa-apa urusan yang boleh saya bantu?”

    Perkara kecil seperti ini boleh membantu meringankan sedikit beban dan tekanan yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian. Namun, sentiasa hormati pilihan dan keputusan mereka. Elakkan membuat janji temu, menghubungi ahli keluarga atau mengambil alih urusan mereka tanpa persetujuan terlebih dahulu. Bantuan yang diberikan seharusnya memperkasakan mereka, bukannya mengurangkan rasa kawalan terhadap kehidupan mereka sendiri.

    Jika mereka menolak tawaran anda, cuba jangan berkecil hati. Mereka mungkin belum bersedia untuk menerima bantuan atau bantuan yang ditawarkan mungkin tidak sesuai dengan keperluan mereka. Sebaliknya anda boleh bertanya, “Ada cara lain yang saya boleh bantu?”

    Setiap orang mempunyai tahap keselesaan yang berbeza. Ada yang lebih mudah berbual sambil berjalan. Ada pula yang lebih selesa berkomunikasi melalui mesej kerana mereka memerlukan masa untuk menyusun fikiran. Seboleh-bolehnya, hormati cara yang paling selesa bagi mereka.

    Apabila berbincang tentang isu kesihatan mental, jagalah kepercayaan yang telah diberikan kepada anda. Jika seseorang berkongsi tentang cabaran kesihatan mental yang sedang dihadapi, hormati privasi mereka. Sebelum berkongsi maklumat tersebut dengan orang lain, minta kebenaran terlebih dahulu dan terangkan sebab mengapa anda merasakan sokongan tambahan mungkin diperlukan. Elakkan menjadikan pengalaman mereka sebagai bahan perbualan dalam kalangan keluarga, rakan-rakan atau pihak lain tanpa persetujuan mereka.

    Jadi, bagaimana anda boleh meningkatkan kesedaran kesihatan mental melalui tindakan sendiri? Gunakan apa yang dikongsikan oleh seseorang untuk memahami bentuk bantuan yang paling sesuai untuk mereka. Kita mungkin mempunyai pandangan tentang apa yang patut mereka lakukan, tetapi mereka juga perlu diberi ruang untuk menjelaskan keperluan mereka sendiri.

    Teruskan Bertanya Khabar dan Bantu Mereka Mendapatkan Sokongan

    Selepas perbualan pertama, teruskan bertanya khabar secara berkala. Mesej ringkas seperti “Macam mana keadaan awak hari ini?” boleh memberi makna yang besar dan menunjukkan bahawa anda masih mengambil berat. Tetapkan waktu yang sesuai untuk berhubung dan hormati ruang mereka tanpa mengharapkan jawapan segera.

    Selepas perbualan pertama, teruskan bertanya khabar. Mesej ringkas seperti “Macam mana keadaan awak hari ini?” boleh menunjukkan bahawa anda masih mengambil berat. Persetujui waktu yang sesuai untuk berhubung, tanpa mengharapkan jawapan segera.

    Teruskan juga mengajak mereka makan bersama atau melakukan aktiviti yang biasa anda nikmati bersama. Tidak setiap pertemuan perlu membincangkan isu kesihatan mental. Kehadiran dan sokongan anda juga boleh membantu mereka berasa lebih dihargai dan tidak bersendirian.

    Sokongan Emosi dalam Kehidupan Harian

    Jika mereka mahu bercerita dan tiada kebimbangan segera terhadap keselamatan diri, berikan ruang untuk mereka berkongsi perasaan dan pengalaman tanpa tergesa-gesa memberi nasihat. Anda boleh mendengar, menemani atau membantu urusan harian mengikut persetujuan mereka. Sokongan ini boleh diteruskan walaupun mereka sedang menerima rawatan profesional. Panduan NHS turut menyarankan bantuan praktikal dan hubungan sosial yang berterusan.

    Bila Perlu Mendapatkan Bantuan Profesional

    Jika kesukaran semakin berat, berlarutan atau menjejaskan kehidupan harian, galakkan mereka mendapatkan bantuan daripada doktor atau profesional kesihatan mental. Jangan menunggu sehingga berlaku kecemasan. Bantu mereka mengambil langkah pertama dengan menawarkan bantuan mencari perkhidmatan yang bersesuaian, membuat temu janji atau menemani mereka mendapatkan rawatan jika diperlukan. Cadangan ini selaras dengan panduan NHS tentang mendapatkan bantuan lanjut.

    Antara saluran sokongan kesihatan mental di Malaysia ialah:

    • Talian HEAL 15555: Talian bantuan dan sokongan psikososial yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, seperti yang diterangkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
    • Befrienders KL, 03-7627 2929: Sokongan emosi secara sulit kepada individu yang memerlukan seseorang untuk mendengar, 24 jam setiap hari, menurut halaman hubungan rasmi Befrienders KL.

    Bila Perlu Bertindak Segera

    Jika seseorang berada dalam keadaan yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain, atau mereka tidak lagi mampu memastikan keselamatan diri, hubungi 999 atau dapatkan bantuan di jabatan kecemasan hospital terdekat. MyGovernment mengesahkan 999 sebagai nombor perkhidmatan kecemasan di Malaysia, manakala Befrienders KL menyarankan bantuan kecemasan apabila seseorang tidak dapat memastikan keselamatannya. Jangan tangguhkan tindakan kecemasan untuk menunggu jawapan daripada talian sokongan.

    Namun, jika terdapat bahaya segera atau risiko terhadap keselamatan diri mereka atau orang lain, hubungi 999 walaupun mereka menolak bantuan. Temani mereka jika selamat untuk anda dan terangkan bahawa anda mendapatkan bantuan kerana bimbang tentang keselamatan mereka. Jangan cuba menahan mereka secara fizikal atau meletakkan diri anda dalam bahaya. Panduan Mind tentang penolakan bantuan dan kecemasan membezakan antara menghormati pilihan seseorang dengan mendapatkan bantuan apabila keselamatan terancam.

    Mulakan dengan Bertanya Khabar

    Kita mungkin tidak selalu tahu apa yang perlu dikatakan apabila seseorang yang kita sayangi sedang melalui waktu yang sukar. Luangkan masa untuk bertanya khabar, dengar tanpa menghakimi dan tanyakan bentuk bantuan yang mereka perlukan. Jika mereka belum bersedia untuk berkongsi, beri mereka ruang dan terus berhubung seperti biasa.

    Di Great Eastern Takaful Berhad (GETB), kami menggalakkan anda untuk menjaga kesejahteraan diri sendiri dan orang tersayang. Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia ini, luangkan masa untuk mendengar dalam kehidupan seharian. Mesej ringkas, ajakan untuk makan tengah hari atau tawaran untuk menemani mereka ke janji temu boleh menunjukkan bahawa anda mengambil berat. Apabila bantuan profesional diperlukan, berikan sokongan kepada mereka untuk mendapatkannya. 

    Ketahui lebih lanjut tentang bagaimana Great Eastern Cares menyokong komuniti melalui inisiatif meningkatkan kualiti hidup, akses yang lebih luas kepada perlindungan takaful,  literasi kewangan dan tindakan untuk melindungi alam sekitar

    Soalan Lazim

    1. Adakah seseorang perlu mendapat diagnosis sebelum meminta bantuan untuk masalah kesihatan mental?
      Tidak. Mereka boleh mendapatkan bantuan walaupun belum mempunyai diagnosis. Jika sesuatu terasa sukar untuk ditangani, mereka boleh berbincang dengan doktor atau profesional kesihatan mental untuk memahami keadaan itu. Elakkan melabel seseorang berdasarkan apa yang kita lihat atau baca dalam talian.
    2. Bagaimana saya boleh membantu jika tinggal jauh daripada mereka?
      Tanya sama ada mereka lebih selesa berhubung melalui mesej, telefon atau panggilan video. Anda juga boleh menawarkan bantuan seperti penghantaran makanan atau mencari perkhidmatan berdekatan. Jika anda bimbang tentang keselamatan mereka, dapatkan lokasi semasa dan hubungi bantuan kecemasan atau seseorang berhampiran yang dipercayai.
    3. Adakah seseorang yang masih bekerja dan kelihatan ceria boleh mengalami masalah kesihatan mental?
      Ya. Seseorang mungkin masih bekerja, bergurau dan menjalani rutin seperti biasa walaupun sedang menghadapi masalah kesihatan mental. Penampilan luaran tidak semestinya menggambarkan apa yang mereka rasakan. Jika mereka berkongsi tentang kesukaran yang dialami, dengar dengan terbuka tanpa menganggap mereka baik-baik sahaja hanya kerana kelihatan ceria.
    4. Bolehkah saya menghubungi talian sokongan kesihatan mental di Malaysia untuk mendapatkan panduan tentang orang lain?
      Ya. Befrienders KL turut membantu individu yang bimbang tentang seseorang. Anda boleh menghubungi mereka untuk berbincang tentang kebimbangan anda dan mendapatkan panduan tentang cara menyokong orang tersebut. Anda tidak perlu mengetahui dengan pasti apa yang sedang berlaku sebelum meminta panduan.
    5. Bagaimana hendak meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam keluarga yang menganggapnya sebagai kelemahan?
      Mulakan dengan perkara yang mudah difahami, seperti kesukaran tidur, rasa cemas atau hilang tumpuan. Kongsi maklumat daripada sumber yang dipercayai dan elakkan ungkapan yang memalukan seseorang. WHO menerangkan bahawa kesihatan mental dipengaruhi oleh pelbagai faktor individu, sosial dan persekitaran. Menganggapnya sebagai kelemahan semata-mata tidak menggambarkan keadaan sebenar.

     

    Rujukan:

    1. https://wfot.org/news/2026/world-mental-health-day-2026-announcing-this-years-theme
    2. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/mental-health-strengthening-our-response
    3. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2025/11/03/talian-krisis-kesihatan-mental-kebangsaan/
    4. https://www.nhs.uk/every-mind-matters/supporting-others/helping-others/
    5. https://bestforyou.org.uk/guides/supporting-others-with-their-mental-health/how-to-listen/
    6. https://befrienders.org.my/get-help/im-worried-about-someone/
    7. https://befrienders.org.my/contact-us/