Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

3 tips kekal produktif bekerja dari rumah

Kongsi
Tips untuk kekal produktif semasa bekerja dari rumah dan mencipta keseimbangan kehidupan dan kerja

Kerja dari rumah atau Work from Home ini lain suasananya berbanding bekerja di pejabat. Di rumah terdapat lebih banyak gangguan, lebih-lebih lagi jika ada yang perlu menjaga anak-anak dalam masa yang sama. Bagi yang bujang pula, fokus mudah lari dan kurang motivasi untuk menjadi produktif berbanding jika bekerja di pejabat. Sedikit sebanyak produktiviti kerja akan terganggu. Kerja tertangguh dan semakin hari semakin banyak kerja sehinggakan terpaksa bekerja sehingga lewat malam. Tidak dinafikan, ianya bukan suatu perkara yang mudah untuk kekal fokus apabila bekerja dari rumah.

Jadi bagaimana anda mahu tingkatkan produktiviti kerja anda? Bagaimana cara untuk memastikan anda tidak perlu bekerja lebih masa sehingga terpaksa mengorbankan waktu malam dan hujung minggu?

Terdapat banyak tips meningkatkan produktiviti di luar sana. Walau bagaimanapun, ini adalah 3 tips yang anda boleh terus amalkan selepas menghabiskan artikel ini.


1. Menyediakan ruang kerja yang selesa

Ruang kerja yang selesa adalah faktor paling penting apabila bekerja dari rumah. Ia bukan sahaja penting untuk anda kekal produktif tetapi ia juga penting untuk kesihatan anda. Ruang kerja yang tidak selesa boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti sakit kepala, sengal di leher dan tulang belakang serta membentuk postur badan yang tidak baik.

Menurut satu kajian daripada Upright dan Ernst & Young, pekerja dengan postur badan yang baik merekodkan 75% lebih produktif berbanding pekerja lain. Bagaimana mahu memastikan anda lebih selesa bekerja dari rumah?

Wujudkan ruang kerja dari rumah yang ergonomik dan selesa untuk meningkatkan produktiviti

Pertama, gunakan perabot dan alatan bekerja yang ergonomik. Kerusi ergonomik adalah solusi kepada masalah sakit tulang belakang kerana ia memiliki fungsi sokongan lumbar. Anda bekerja sekurang-kurangnya 6-8 jam sehari, bermakna anda akan duduk selama 6-8 jam juga, jadi janganlah berkira untuk melabur lebih sedikit demi kesihatan anda. Selain itu anda juga disarankan membeli papan kekunci dan tetikus yang ergonomik bagi mengelakkan terkena sindrom terowong carpal (carpal tunnel syndrome).

Kedua, posisi tempat kerja perlu mempunyai pencahayaan yang baik. Sebaiknya ia berdekatan dengan sumber cahaya semula jadi seperti tingkap atau pintu. Hal ini bagi mengelakkan mata anda letih dan pening kepala kerana terlalu lama menghadap skrin komputer. Sejam atau dua jam sekali anda seharusnya rehatkan mata dengan menjenguk pemandangan di luar rumah.


2. Gunakan teknik pomodoro

Teknik ini dicipta oleh seorang pelajar universiti, Cirillo pada tahun 1980. Ini adalah cara beliau kekal produktif.

  1. Senaraikan tugas yang ingin dilakukan dan sediakan pemasa (timer).
  2. Tetapkan pemasa selama 25 minit dan fokus dengan membuat satu tugasan  sahaja sehingga pemasa berbunyi.
  3. Rehat untuk 5 minit
  4. Ulang semula untuk 3-4 kali.
  5. Selepas habis 4 pusingan, anda boleh mengambil masa berehat yang lama sedikit sekitar 15-20 minit.

Melalui cara ini, anda tidak perlu menghadap komputer terlalu lama. Teknik ini amat baik untuk kesihatan mata anda. Waktu rehat 5 minit ini boleh digunakan untuk bangun sebentar, regangkan badan dan rehatkan mata dengan melihat kepada objek yang lebih jauh.

Bagi memastikan teknik ini berkesan, pastikan anda fokus menyiapkan satu tugas sahaja dalam satu masa. Jika tugas itu memerlukan masa yang lebih panjang, pecahkannya kepada beberapa bahagian kecil.


3. Kaedah Ivy Lee

Kaedah ini digunakan oleh syarikat Bethlehem Steel Corporation pada tahun 1918. Seorang konsultan bernama Ivy Lee membantu CEO Bethelehem Steel untuk meningkatkan tahap kecekapan pekerja pada ketika itu.

Kaedah Ivy Lee untuk meningkatkan tahap kecekapan semasa bekerja dari rumah

Ini adalah kaedah Ivy Lee.

  1. Setiap hari sebelum tamat waktu kerja, tulis enam tugas penting yang perlu disiapkan pada hari esok.
  2. Susun enam tugas tersebut mengikut tahap kepentingan.
  3. Pada keesokan hari, siapkan tugas mengikut tahap kepentingan. Jangan beralih selagi tugas pertama tidak disiapkan.
  4. Ulang sehingga tugas ke-6.
  5. Jika masih terdapat tugas yang belum disiapkan, masukkan ke senarai hari esok pula.

Kesimpulannya, carilah keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Tips produktiviti ini boleh digunakan agar anda mampu menyiapkan kerja dengan lebih pantas dan mempunyai masa rehat yang mencukupi serta masa untuk diluangkan bersama keluarga.

Akhir sekali, jangan lupa untuk menjaga kesihatan anda. Tanpa badan yang cergas dan sihat, sukar untuk anda menghasilkan kerja yang baik. Amalkan gaya hidup sihat dengan membuat senaman, dapatkan tidur yang cukup serta menjaga pemakanan seimbang.

Salah satu kerjaya yang memberi kepuasan tinggi adalah kerjaya yang mana anda memiliki masa yang lebih fleksibel. Boleh bekerja dari mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang anda mahukan. Antara kerjaya yang memiliki ciri-ciri ini adalah Perunding Takaful. Anda boleh mendaftar di sini.

 

Rujukan: 

Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo