Memupuk semangat berjimat cermat semasa cuti sekolah

Memupuk semangat berjimat cermat semasa cuti sekolah

Pengurusan kewangan yang baik termasuklah berjimat-cermat dalam berbelanja, menyimpan untuk masa hadapan dan membuat bajet kewangan. Ketahui bagaimana memupuk sifat pengurusan kewangan yang baik dalam diri anak-anak.

Social Share XF (BM)
Memupuk semangat berjimat cermat semasa cuti sekolah

Menurut satu kajian daripada Consumer Financial Protection Bureau di Amerika Syarikat, kanak-kanak boleh memahami konsep menyimpan seawal usia 5 tahun.

Hari ini, ramai graduan dan orang muda yang terperangkap dalam masalah kewangan terutamanya hutang. Masalah ini mampu dicegah lebih awal dengan pendidikan kewangan yang bermula dari rumah.

Kemahiran kewangan adalah kemahiran yang berguna untuk sepanjang hayat. Jadi, sebagai ibu bapa, anda boleh memberi pendedahan awal tentang pengurusan kewangan sejak kecil lagi. Tabiat yang dipupuk sejak kecil lebih mudah untuk kekal sehingga dewasa berbanding jika anak-anak belajar mengenai kewangan apabila mereka telah mula bekerja.

Pengurusan kewangan yang baik termasuklah berjimat-cermat dalam berbelanja, menyimpan untuk masa hadapan dan membuat bajet kewangan. Ini adalah antara tabiat yang anda boleh lakukan untuk memupuk sifat pengurusan kewangan yang baik dalam diri anak-anak.

Berbual tentang wang bersama anak

Anda mungkin mempunyai lebih banyak masa bersama anak-anak semasa cuti sekolah. Jadi, cuti sekolah adalah waktu yang amat sesuai untuk memulakan sesi perbualan tentang wang atau simpanan bersama mereka.

Anda boleh mulakan dengan memperkenalkan konsep asas seperti apakah kegunaan wang? Bagaimana cara kita mendapatkan wang? Dan terangkan konsep jual beli kepada mereka agar mereka lebih faham tentang nilai wang dah proses jual beli dalam kehidupan seharian.

Kemudian untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam, tunjukkan contoh di depan mereka. Beri mereka peluang untuk melalui pengalaman sebenar dengan wang. Sebagai contoh, ketika membeli barang dapur, anda boleh memberikan duit kepada anak anda untuk mereka membuat pembayaran. Biar mereka merasai sendiri pengalaman menjual beli.

Selain itu, anda juga boleh memperkenalkan konsep mendapatkan wang melalui elaun pekerjaan kepada anak-anak. Berikan mereka upah untuk kerja-kerja rumah yang boleh mereka lakukan seperti menyapu lantai, membasuh kereta dan mencuci pinggan.

Terangkan perbezaan antara keperluan dan kehendak

Anak-anak tidak akan mampu berjimat-cermat jika mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan kehendak. Jelaskan kepada mereka keperluan adalah perkara asas seperti makanan, rumah dan pakaian. Kehendak pula adalah semua perkara tambahan seperti berjalan-jalan, mainan dan gajet terkini.

Semasa di rumah, anda boleh uji mereka dengan menunjukkan barangan di rumah dan bertanya sama ada barang tersebut keperluan atau kehendak. Ajarkan juga kepada mereka bahawa wang itu terhad. Mereka tidak boleh beli apa sahaja yang mereka mahukan. Jika mereka mahu membeli mainan contohnya, tetapkan had seperti seminggu sekali atau mainan di bawah RM10 sahaja yang mereka boleh beli.

Tetapkan matlamat simpanan

matlamat simpanan

Anak-anak tidak akan faham mengapa mereka perlu menyimpan tanpa sebarang tujuan. Anda boleh bermula mengajar mereka untuk menyimpan bagi membeli barang kesukaan mereka. Jika mereka mahukan kereta kawalan jauh misalnya, bantu mereka membuat pelan simpanan untuk membeli kereta tersebut.

Nak beli LEGO? Boleh, tapi mulakan dengan simpanan. Nak beli robot? Boleh, mulakan dengan simpanan. Dengan ini barulah mereka bersemangat untuk menyimpan.

Seterusnya, sediakan tempat untuk mereka menyimpan. Anda boleh mulakan dengan tabung lutsinar atau balang kaca. Anak-anak dapat melihat bagaimana simpanan mereka bertambah dari semasa ke semasa. Kemudian barulah anda boleh mengajar mereka untuk menyimpan di dalam akaun simpanan seperti akaun bank, Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera.

Akhir sekali, anda boleh menawarkan insentif tambahan jika mereka mencapai sasaran simpanan. Sebagai contoh, anda akan menambah RM100 jika mereka berjaya menyimpan RM100. 

Memperkenalkan konsep wang saku

wang saku

Wang saku adalah salah satu cara terbaik untuk memperkenalkan anak-anak dengan konsep wang. Mereka boleh menggunakannya untuk:

  • Membeli barang yang mereka mahu dan perlukan
  • Mempelajari bagaimana mengurus belanjawan
  • Mula memahami cara menjadi bebas kewangan
  • Belajar berjimat-cermat
  • Menghargai nilai wang

Kemudian, seminggu sekali anda boleh adakan sesi perbincangan tentang wang saku ini. Tanya mereka ke mana mereka belanjakan? Adakah mereka ada menabung untuk apa-apa tujuan?

Sebagai penutup, ibu bapa adalah contoh terbaik untuk anak-anak. Jika mereka lihat ibu bapa mereka berbelanja dengan boros, kemungkinan besar mereka akan boros juga. Jika mereka lihat ibu bapa mereka berjimat-cermat, maka mereka akan menjadi orang yang berjimat-cermat juga.

Tunjukkanlah contoh yang baik kepada mereka kerana pengurusan kewangan yang baik bermula daripada rumah. Manfaatkanlah musim cuti sekolah ini dengan sebaiknya.