Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

3 langkah menghayati erti kemerdekaan

Tanggal 31, bulan 8, 57 ~

Menghayati kemerdekaan membawa erti sebuah tanggungjawab yang harus dipegang oleh setiap warganegara. Ia bukan sekadar mengenang jasa pejuang-pejuang terdahulu, tetapi lebih kepada memahami dan menghargai kebebasan yang telah diperoleh. Dalam usaha untuk menghayati kemerdekaan secara lebih mendalam, terdapat tiga langkah utama yang boleh diambil. Mari terokai cara-cara ini untuk menyambut hari kemerdekaan dengan lebih bermakna terhadap negara kita!

Mendidik generasi muda

 

Mendidik generasi muda bukan sahaja terhad kepada mengajar subjek Kajian Tempatan atau Sejarah. Tujuan mendidik generasi muda adalah mengajar mereka supaya ilmu dapat diwarisi dari generasi ke generasi. Pendidikan ini dapat menanamkan rasa cinta terhadap negara. Perkara ini dapat memperingatkan generasi muda tentang adat dan   peraturan ibu pertiwi, seperti peribahasa Melayu: di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Terdapat pelbagai cara lain untuk mendidik, seperti melawat muzium tempatan atau berkongsi pengalaman terdahulu. Generasi muda kini lebih terdorong kepada perkongsian seperti penceritaan. Melalui perkongsian pengalaman tersendiri, semangat patriotisme dapat dipupuk dalam diri generasi muda. Selain itu, terdapat banyak media massa yang mengetengahkan pemupukan patriotisme melalui kempen-kempen sebagai cara untuk meraikan kemerdekaan. Dengan segala maklumat dan komunikasi di hujung jari, patriotisme mampu dipupuk secara ringkas dan mudah kepada generasi muda ini.

Menghargai bahasa negara

 

“Bahasa jiwa bangsa”. Kita seringkali terdengar peribahasa ini. Bahasa jiwa bangsa melambangkan identiti kebangsaan sebuah bangsa. Pentingnya bahasa kebangsaan kerana ianya sebuah simbol jati diri sebuah nusa. Kefahaman sesebuah bahasa dapat menyampaikan maklumat dan komunikasi antara satu sama lain. Menjunjung bahasa adalah mudah tetapi cukup bermakna untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan. Menghargai bahasa kebangsaan kita — Bahasa Malaysia— sekaligus dapat menunjukkan cinta dan kesetiaan kepada negara kita.

Terdapat pelbagai cara yang kita boleh lakukan untuk menghargai bahasa dan warisan negara kita. Antaranya adalah:

  1. Menghasilkan karya seni menggunakan bahasa Malaysia.
  2. Menghayati petikan-petikan warisan negara.
  3. Memperkasakan penggunaan bahasa Malaysia tanpa mengalih kod (campuran bahasa/”rojak”).
  4. Menghormati penggunaan bahasa Malaysia di mana-mana jua.
  5. Sentiasa mengamalkan kesopanan apabila bertutur atau menulis dalam bahasa Malaysia.

Marilah kita memartabatkan dan meluaskan lagi pengetahuan kita tentang bahasa Malaysia dan menghargai warisan negara kita. Pemartabatan bahasa negara dapat menguatkan bangsa kita, agar bahasa yang dibanggakan oleh kita tidak akan hilang di muka dunia.

Mengamalkan toleransi dan keharmonian

 

Cara untuk meraikan kemerdekaan seterusnya adalah mengamalkan toleransi. Mengikut Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, toleransi adalah sebuah amalan bertolak ansur dan menghormati sesama lain. Di Malaysia, kita hidup bersama pelbagai bangsa dan agama. Pengamalan toleransi dan keharmonian adalah penting untuk setiap warga Malaysia. Apabila kita hidup bertoleransi sesama sendiri, keharmonian masyarakat dan negara juga akan terjaga kelak.

Salah satu cara untuk mengamalkan toleransi dan keharmonian negara adalah dengan menerima atau menghormati pendapat orang lain. Adalah penting untuk mengelakkan ego kita mengawal pergaulan dengan kaum lain. Apabila kita bersikap terbuka terhadap pemikiran atau pendapat dari pihak lain, kita dapat meluaskan pengetahuan dan mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat. Dengan cara ini, bukan sahaja dapat mengekalkan keharmonian, tetapi dapat memelihara sikap kerjasama sesama sendiri.

Menghayati kemerdekaan bukanlah satu tugas yang hanya perlu dilakukan sekali dalam setahun, tetapi ia adalah satu komitmen yang berterusan. Dengan mendidik generasi muda dan menghargai bahasa & warisan negara, kita dapat memastikan semangat kemerdekaan terus hidup dalam hati setiap rakyat Malaysia. Selain itu, melalui toleransi, kita memperkukuhkan lagi asas perpaduan dan keharmonian. Semoga dengan usaha yang berterusan ini, kemerdekaan yang kita kecapi akan terus memberi makna dan manfaat kepada generasi sekarang dan akan datang. Mari kita bersama-sama memupuk semangat patriotisme dan menjaga kemerdekaan negara dengan penuh rasa cinta dan tanggungjawab. Selamat menyambut Hari Merdeka!

Kandungan yang berkaitan
Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo

Ahli PIDM

TIPS Brochure PIDM