Pada bulan Syawal, umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya, dan Great Eastern Takaful Berhad (GETB), sebuah pengendali takaful keluarga telah mengambil inisiatif untuk meraikan perayaan tersebut bersama kakitangannya. Majlis yang dikenali sebagai "Raya Kampong GETB" ini bertujuan untuk mengimbau kembali kenangan menyambut Raya secara tradisional bersama kakitangan GETB yang mana kesemua mereka telah mengenakan pakaian Melayu klasik.
Bertemakan "Melayu Klasik", sambutan Raya Kampong GETB dimulai dengan menaiki lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad Kuala Lumpur (KTMB KL), untuk perjalanan dua hala bermula dari Kuala Lumpur ke Tampin. Semua kakitangan berpeluang untuk merasai pengalaman "balik kampung" yang istimewa sambil menikmati pemandangan desa yang indah dalam suasana klasik di samping sajian makanan, dekorasi serta permainan tradisional seperti congkak, dart, dam haji, dan pertandingan karaoke. Setibanya di stesen keretapi Tampin, beberapa buah bas telah tersedia untuk membawa semua kakitangan GETB ke Dewan Perdana Tampin di mana majlis perayaan akan diteruskan.
GETB meluaskan amalan berkongsi rezeki dan mengukuhkan komitmen dalam membantu mereka yang memerlukan dengan menjemput kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Harapan untuk menyertai majlis tersebut. Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, di bawah inisiatif GET-Care bertujuan untuk memberikan pengalaman Raya yang menggembirakan di mana kehadiran mereka menambahkan keceriaan dan menyemarakkan sambutan perayaan.