Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

Kanser payudara dalam keluarga: faktor risiko & langkah perlindungan

Kanser payudara

Kanser payudara berlaku apabila terdapat pertumbuhan tisu yang tidak terkawal, menjurus kepada timbulan ketulan pada bahagian payudara. Sel kanser ini boleh menyebar ke bahagian lain termasuk nodus limfa (kelenjar) di ketiak ataupun ke mana-mana bahagian badan. Kanser payudara tidak mengenal usia dan jantina, risiko kanser payudara masih lagi wujud di kalangan kita. Mari kupaskan topik kanser payudara secara lebih mendalam dengan artikel ini. 
 

Jenis kanser payudara

Kanser payudara merupakan sejenis barah yang mempunyai pelbagai jenis dan ciri-ciri yang berbeza menghasilkan simptom kanser payudara yang berbeza juga. Terdapat beberapa jenis kanser payudara hasil daripada pertumbuhan tisu yang tidak terkawal seperti berikut:

 

  • Kanser Setempat “Carcinoma in situ”

    Kanser ini merujuk kepada tahap kanser payudara yang masih lagi di peringkat awal. Sel kanser tersebut terletak di tempat ianya mula tumbuh, secara umumnya di sekitar saluran atau kelenjar susu payudara. Dalam erti kata lain, carcinoma in situ adalah kanser pada tahap 0.
  • Kanser saluran “Ductal carcinoma in situ” (DCIS)

    Kanser saluran DCIS pula merupakan sejenis kanser payudara yang tidak merebak (non-invasive) dan berlokasi di sekitar saluran susu payudara. Jenis kanser ini diklasifikasikan sebagai tanda terawal kanser payudara. Memandangkan ianya bersifat non-invasive, kanser ini belum merebak ke kelenjar susu dan mempunyai potensi yang rendah untuk merebak ke bahagian lain.
  • Kanser Lobular “Lobular carcinoma in situ” (LCIS)

    Bersempena dengan nama lobular (keadaan yang memberi kesan kepada unit mikroskopik organ tersebut yang dikenali sebagai lobule), jenis keadaan ini terbentuk di kelenjar susu payudara tetapi tidak melepasi dinding kelenjar tersebut. Kanser ini merupakan satu fenomena yang luar biasa dan sebenarnya diklasifikasikan sebagai bukan kanser, namun, apabila didiagnos dengan LCIS, kebarangkalian untuk mendapat kanser payudara sangat tinggi.
  • Kanser saluran merebak “Invasive ductal carcinoma” (IDC) & Kanser lobul merebak “Invasive lobular carcinoma” (ILC)

    Kanser IDC merupakan kanser yang seringkali berlaku. Ianya bermula di saluran susu, melepasi dinding saluran tersebut dan merebak ke tisu payudara yang lain. ILC pula lebih kurang sama dengan IDC tetapi ia bermula di kelenjar susu dan merebak ke bahagian lain.

Faktor risiko kanser payudara
 

Faktor risiko kanser payudara

Kanser payudara terjadi disebabkan faktor-faktor yang tidak boleh dielakkan seperti umur, jantina dan juga sejarah lalu kanser payudara. Walaupun kanser payudara boleh dihidapi oleh wanita muda, namun jika anda berusia 50 tahun keatas, potensi untuk anda mendapat kanser payudara adalah 8-10 kali ganda.

Kanser payudara boleh terjadi kepada wanita mahupun lelaki. Walau bagaimanapun, wanita mempunyai 100 kali ganda risiko untuk menghidapi kanser payudara berbanding dengan lelaki. Selain itu, jika anda pernah menghidap kanser payudara sebelum ini, anda lebih berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara lagi.
 

Langkah pencegahan kanser payudara

 

 

Langkah pencegahan kanser payudara

Meskipun kanser payudara tidak dapat dielakkan, kita masih mampu membuat langkah perlindungan untuk mengurangkan potensi serangan kanser tersebut. Berikut merupakan langkah perlindungan yang boleh kita jalani:

  • Kerap bersenam

    Anda tidak perlu terus membuat senaman yang berintensiti tinggi. Anda hanya perlu bersenam mengikut kemampuan dan had diri sendiri untuk mengelakkan kecederaan yang boleh menimpa ke atas diri anda. Dengan melakukan aktiviti senaman, anda dapat mengelakkan faktor kanser payudara seperti berat badan yang berlebihan dan juga paras estrogen darah yang tinggi.

 

  • Mengamalkan diet yang sihat

    Anda dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dengan pengambilan diet yang seimbang dan sihat untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan yang berpotensi menjurus ke arah risiko kanser payudara. Amalan diet yang sihat dapat mengimbangkan berat badan anda dan seterusnya mengurangkan risiko kanser payudara seperti berat yang berlebihan.

 

  • Menyusukan anak

    Ibu yang menyusukan anak kurang berpotensi untuk menghidap kanser payudara. Hal ini kerana apabila ibu menyusukan anak, para ibu mengalami perubahan hormon seterusnya melambatkan kitaran haid mereka dan mengelakkan mereka terdedah kepada hormon seperti estrogen yang merupakan penyumbang kepada kanser payudara.

 

Langkah perlindungan yang perlu dibuat terlebih dahulu adalah membuat saringan kanser payudara. Anda boleh mendapatkan saringan percuma seperti Program Subsidi Mamogram oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan.

Adalah penting untuk anda mengambil tahu tentang perkembangan dan isu-isu mengenai kanser payudara seperti simptom-simptom, faktor risiko dan jenisnya supaya anda boleh mengambil langkah-langkah perlindungan dan pencegahan. Persediaan dan rawatan kanser payudara lazimnya menelan belanja yang tinggi untuk kos rawatan. Anda dinasihatkan untuk membuat perancangan terlebih dahulu demi melindungi diri anda daripada membelanjakan wang yang banyak untuk kos rawatan dan pemulihan sekiranya didiagnos dengan kanser payudara. 

Kandungan yang berkaitan
Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo