Great Eastern Takaful Logo
Pilih negara dan bahasa anda
Malaysia (Takaful)
Malaysia
Singapore
Indonesia
Brunei
Great Eastern Takaful Logo

3 mitos harta pusaka

Kongsi
Kesalahfahaman biasa dalam masyarakat tentang harta pusaka dan pengurusannya

Tidak ramai yang ambil tahu mengenai ilmu pengurusan harta pusaka. Ada juga yang risau jika melebih-lebih dalam bab urusan pusaka ini akan dilabel sebagai seorang yang gila harta. Bukan begitu. Pentingnya ilmu pengurusan harta pusaka ini adalah bagi memastikan proses pengagihan harta pusaka berjalan lancar dan bagi mengelakkan pergaduhan di masa hadapan.

Disebabkan masih ramai yang kurang cakna dengan isu ini, hampir RM70 bilion jumlah harta yang tidak dituntut dari tahun 1957 sehingga hari ini kerana masih banyak lagi salah faham tentang pengurusan harta pusaka.

Dalam artikel ini kita akan melihat beberapa salah faham yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat Mengenai harta pusaka dan pengurusannya agar anda dapat kongsikan pengetahuan ini kepada ahli keluarga mahupun sahabat handai.

 

1. Wasiat wajib dituruti dan boleh diberikan kepada waris 

“Ayah wasiatkan semua harta ayah dibahagikan sama rata kepada semua anak ayah”

Walaupun dalam dialog di atas ayahnya telah membuat wasiat, wasiat ini tidak wajib dituruti kerana tidak memenuhi beberapa syarat wasiat. Kenapa?

Pertama, dari segi hukum, wasiat adalah tidak harus kepada waris. Ini berdasarkan daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.” (Riwayat Abu Daud)

Menulis wasiat untuk memastikan harta pusaka anda akan diagihkan secara adil mengikut kehendak anda

Wasiat hanya terlaksana jika semua waris bersetuju dengan wasiat ini. Perlu dilihat dahulu siapakah waris si mati. Mungkin ayah dan ibunya masih hidup. Jika anaknya semua perempuan, ada bahagian kepada adik beradik lelaki si mati.

Jika terdapat walau seorang sahaja waris yang tidak bersetuju, maka ia perlu diagihkan mengikut pembahagian faraid. Tetapi jika wasiat adalah kepada bukan waris, maka ia wajib dituruti.

Kedua, wasiat dalam Islam hanya dibenarkan untuk 1/3 harta bersih sahaja. Harta bersih bermaksud harta yang tinggal setelah ditolak dengan hutang si mati dan urusan jenazahnya. Wasiat lebih daripada 1/3 hanya terlaksana jika semua waris bersetuju sahaja.

 

2. Penama adalah pewaris harta

Bagi harta-harta seperti KWSP, Tabung Haji dan akaun bank, biasanya institusi ini membolehkan anda meletakkan penama kepada harta tersebut. Namun ramai yang salah faham bahawa penama ini adalah pewaris harta.

Contohnya jika seorang ibu meletakkan nama anaknya sebagai penama bagi akaun KWSP, dia beranggapan bahawa anaknya lah yang akan menerima wang KWSP jika dia meninggal dunia. Ini tidak benar sama sekali.

Penama hanyalah pengurus harta. Di mana penama adalah orang yang bertangungjawab menguruskan harta tersebut untuk diagihkan kepada waris mengikut pembahagian faraid.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk membahagikan wang yang dinamakan kepadanya kepada waris si mati yang berhak mengikut hukum faraid.

Tujuan sebenar meletakkan penama adalah bagi melancarkan pengurusan harta pusaka tanpa perlu mendapatkan perintah pengurusan harta. Dalam memilih siapakah penama bagi harta anda, letakkanlah orang yang paling anda percaya dan mampu menguruskan harta dengan baik.

Jangan letakkan nama anak di bawah umur (bawah 18 tahun) sebagai penama kerana harta tersebut akan dibekukan sehinggalah anak tersebut mencapai usia 18 tahun. Perkara ini akan melambatkan proses pembahagian harta pusaka.

 

3. Hibah Takaful menyelesaikan semua masalah harta pusaka

Jika seseorang itu telah mengambil hibah takaful, maka dia tidak perlu lagi risau tentang masalah harta pusaka, betul ke?

Kenyataan ini separa benar. Hibah takaful adalah milik mutlak penerima hibah yang diletakkan dalam Sijil takaful. Jika suami meletakkan nama isteri sebagai penerima hibah takaful, maka pampasan takaful itu adalah 100% milik isterinya. Ia tidak termasuk dalam harta pusaka.

Harta pusaka adalah harta yang si mati kumpul semasa hidup seperti rumah, simpanan, kereta dan akaun KWSP. Harta pusaka ini perlu melalui proses pembahagian menggunakan kaedah faraid.

Satu lagi perkara penting ialah penerima hibah takaful tidak wajib untuk menyelesaikan hutang si mati atau menggunakan wang tersebut bagi urusan harta pusaka.

Hutang si mati perlulah diselesaikan menggunakan harta pusaka sebelum diagihkan mengikut pecahan faraid.

Hibah takaful boleh menyelesaikan semua masalah harta pusaka adalah mitos

Inilah antara beberapa salah faham yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat berkaitan harta pusaka. Masyarakat perlu tahu tentang proses pembahagian harta dan siapakah waris yang layak. Hibah takaful adalah instrumen yang membantu waris terdekat seperti pasangan dan anak-anak untuk meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu proses pembahagian harta pusaka berjalan. Anda boleh rujuk pelan hibah takaful yang ditawarkan Great Eastern Takaful di sini.
Kembali ke atas
Perlu bantuan?
Great Eastern Takaful Contact Us
Untuk Khidmat Pelanggan
E-mel kepada kami
Kunjungi
kami
Buat tuntutan
Great Eastern Takaful Logo